Rabu, 10 Oktober 2012

Rasuah itu Haram

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

"Dari Abdillah bin
Amru Radiallahuanhuma ia berkata : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah".(Riwayat Al-Imam At-Tarmizi).

Rasuah dalam perspektif hukum Islam adalah haram. Ini berdasarkan dalil yang Qat’ie iaitu al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak Ulamak. Dalam al-Quran terdapat ayat yang menggariskan tentang rasuah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188:
Maksudnya: “ Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Dalam kita menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan, sifat amanah adalah memainkan peranan yang amat penting. Tanpa sifat amanah, akan mudahlah berlakunya sebarang penyelewengan seperti perbuatan rasuah dan bermacam-macam lagi yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Pengertian rasuah itu sebenarnya amat luas, ia bukan hanya tertumpu kepada masalah kewangan sahaja, tetapi juga termasuk penyalahgunaan kuasa yang diamanahkan. Sebagai contoh, jika sekiranya diberikan kuasa membuat pemilihan dan meluluskan tender-tender, maka ia akan memilih dan meluluskan mana-mana orang yang memberikannya sogokan dan suapan tanpa menghiraukan orang yang lebih layak untuk dipilih. Begitu juga jika diamanahkan untuk mengambil pekerja, ia akan mengenepikan orang yang lebih layak dan berhak untuk menjawat pekerjaan itu malahan akan mementingkan saudara-maranya, kawan atau pihak yang menjanjikannya sesuatu imbuhan kepada perbuatan tersebut.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Apabila hilang amanah maka tunggulah kedatangan Hari Kiamat. Maka bertanya seorang lelaki : Bagaimana hilangnya amanah itu? Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Iaitu apabila sesuatu urusannya diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kerosakan dan kebinasaan".(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...